SKJ merupakan sekolah pertama ku.
Aku belajar di situ selama 6 tahun bermula 1978 hingga 1983. Sekolah ini adalah salah satu sekolah rendah yang paling hampir dengan rumah/kampung kami. Sebuah lagi Sekolah bernama Sekolah Dr Latif.
Kedudukan nya pun sebelah menyebelah sahaja. Aku kurang pasti kenapa ibu bapa ku memilih SKJ berbanding Sekolah Dr Latif. Mungkin kerana status sekolah itu yang asalnya 'Sekolah Inggeris' kot. Selain prestasi atau pencapaian murid-muridnya lebih baik. Aku tiada masalah - ikut sahaja.'
Aku tak pasti ketika darjah berapa aku baru tahu yang pakcik ku (Pakcik Munib) adalah salah seorang pekerja di SKJ. Jawatan nya adalah 'Tukang Kebun". Patut lah sepupu ku pun bersekolah di SKJ - senang nak hantar & ambil ke/dari sekolah.
Selain Pakcik Munib, ada 2 orang pendidik yang tinggal sekampung dengan ku. Dan mereka memang mempunyai hubungan persaudaraan denganku. Mereka adalah Cikgu Ghafur yang mengajar Bahasa Inggeris dan Ustaz Zubir yang mengajar Pendidikan Islam. Aku tiada masalah dengan mereka, kerana aku memang dalam kategori 'budak baik'. Cuma ada beberapa insiden berlaku dengan Cikgu Ghafur semasa darjah 4. Insiden pertama ketika aku tak siapkan kerja sekolah & Cikgu tegur kerana dia nampak aku kerap bermain dengan adik-adik ku masa di rumah. Satu lagi ketika ditegur pasal rambut panjang, aku cakap yang rambut Cikgu pun panjang juga...
Kenangan lain ketika bersekolah rendah di SKJ - pergaulan dengan rakan-rakan membawa kepada aktiviti di luar sessi persekolahan. Rata-rata kami duduk berdekatan sama ada di sekitar kampung atau Pekan Sabak. Sungguhpun begitu ada juga yang tinggal di kampung yang agak jauh contohnya Kg Batu 37. Kalau tak silap ada 2-3 orang juga iaitu ,Syukri, Rashid, Hata dan Ishak.
Antara aktiviti yang dilakukan adalah aktiviti berbasikal beramai-ramai ke rumah Syukri di kg Batu 37. Ada sekali tu terus lajak ke pantai Sekendi mencari kerang. Singgah pula di rumah Ishak. Jika tak silap aktiviti berbasikal tu bermula ketika hari raya, sebelum diteruskan pada bulan-bulan berikutnya.
Ketika hari raya ada juga aktiviti makan laksa minum air tebu di gerai cina tepi panggung wayang dan tengok wayang. Ingat lagi beli tiketnya tak seberapa tapi masuk ramai-ramai. Cerita nya pulak cerita Indonesia ! Setelah sekian lama baru tau khabar angin pasal laksa kura-kura...kalau betul pun apa boleh buat? Siapa yang suruh beli dan makan laksa dari Cina!
Pada tahun 80an rata -rata penjual air balang, air tebu dan makanan adalah orang cina. Ketika itu peniaga muslim masih kurang berbanding sekarang. Jika ada pun kedai kopi mamak seperti Restoran Abbas dan kedai Kader wedang di simpang Sepintas. Ada juga peniaga Melayu di Perhentian Bas Sabak-salah seorangnya adalah bapa kepada Musa Abu Bakar.
Musa bin Abu Bakar
Rakan sekelas sejak darjah 4. Dia tinggal di Kampung Batu 40 dan bapanya berniaga di Bus Stand Sabak (Ada gerai nasi lemak). Ketika darjah 6, Musa akan bawa bekal nasi lemak ke sekolah. Tak ingat berapa bilangan nya. Tapi yang bagusnya dia ajak kongsi makan sama-sama di bawah pokok rhu belakang pejabat Guru Besar. Rakan kongsi yang lain kalau tak silap Syukri & Azahar. Selepas makan main pulak sepak raga - tenang betul hidup ketika itu!
Apabila tamat persekolahan di SKJ, kami membawa haluan masing-masing. Bagi rakan-rakan yang mendapat keputusan penilaian darjah 5 yang baik seperti Syukri & Ashraf, meraka dapat tawatan untuk masuk sekolah berasrama penuh. Kami yang tidak dapat tawaran pula bakal menyambung persekolah di sekolah menengah yang telah ditetapkan iaitu antara Sekolah Ungku Aziz (SUA) dan Sekolah Tunku Abdul Rahman Putra (STARP).
Bersambung...
