Isnin, 27 Oktober 2025

Putaran kehidupan

 


Masa terus berjalan tapi ikatan persahabatan kekal sampai bila-bila.

Jarak menjadi penghalang untuk bersua muka. Whatsapp dan telefon menjadi penghubung, berkongsi cerita gembira dan sedih. Saban hari akan ada kata-kata nasihat dari teman yang perihatin dan tidak jemu-jemu berkongsi.

Di group whatsapp Kolej Nyatoh ITM Arau Hj Zainal berupakan penyumbang tegar kata-kata hikmah, nasihat serta doa. Aku sendiri tidak pasti tahap kesihatan beliau dan tidak juga cuba bertanya.

Hari ini Azmi Yusof memberi respon pada posting Hj Zainal. Tidak seperti selalu posting itu terus dibiarkan tanpa tanpa emoji atau pertanyaan aptah lagi perasaan.

Rupa-rupanya Azmi sedang diuji dengan dengan kesusahan hidup. Kereta rosak, tiada sumber pendapatan yang tetap dan modal niaga yang telah lebur. Itu semua diluahkan olehnya ketika aku menghubungi dia sebentar tadi.

Tidak banyak yang aku boleh bantu, hanya kata-kata semangat agar dia terus kuat mengharungi cabaran hidup di zaman ekonomi meleset ini



Masih teringat kenangan kali terakhir reunion pada tahun 2014. Reunion yang menemukan semula rakan-rakan lama dan bertukar-tukar cerita.

Sungguhpun begitu bagi ku kurang memberi impak atau sumbangan pada tahap ekonomi rakan-rakan yang kurang bernasib baik. Masing-masing pulang dengan cerita terkini ke tempat asal. Moga dipanjangkan umur dan kesihatan yang baik agar dapat berjumpa lagi.



Gambar kenangan antara expc terakhir aku bersama team komander ITM Perlis - XPDC Endau Rompin 1993. Gambar lama, sekarang semua pun sudah berumur. Satu kenangan yang singgah hanya sekali dalam hidup.

Ahad, 26 Oktober 2025

zaman persekolahan

 

Gambar kenangan 1988
Persatuan Sains & matematik
Cikgu Salleh, Cikgu Zuraidah
Kimy, Arwah Rizal (meninggal okt 2025), Hazlina, Salmiah
Barisan belakang:
Nurlijah, Amanah, Razak,Khamirul, Hamzani, (Tak ingat), (Rahayu kotla).

Satu zaman yang akan dikenang hingga usia tua. Banyak kenangan suka duka ditempohi. Zaman sekolah yang penuh cabaran. Terasa amat payah masa tu walaupun kepayahan belajar tidak lah sesukar cabaran mencari duit.

Tapi kerana belum tempuh usia dewasa, ketika itu kita beranggapan bahawa kita lah yang paling susah. Pesanan ibu bapa manjadi pedoman kerana mereka pernah melaluinya. Tak terkecuali aku, cuma orang tua kurang tahu pasal motivasi. Sekadar pesanan biasa orang tua kepada anak-anak mereka.

Mujur aku ramai sepupu yang dalam lingkungan umur tidak begitu jauh. Merekalah yang sering membri dorongan untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarga. atau paling tidak menetapkan hala tuju hidup sendiri. Terima kasih pada sepupuku Abang Arin yang menyedarkan aku dari lena. Kata-kata Abang Arin lah yang memberi semangat dan kekuatan untuk belajar demi mengubah nasib keluarga & membantu Ibu yang banyak berkorban mencukupkan belanja persekolahn kami adik beradik.

Di tingkatan 4, aku agak terkaku akibat dari kejayaan SRP. Perhatian rakan2 terhadapku juga agak berbeza. Mereka anggap aku sebagai 'budak pandai' dan secara tiba-tiba semua mahu berkawan dengan ku.

Pada mula-nya aku sangka ia hanya sangkaan ku belaka. Tetapi ternyata ia betul. Jadi aku layankna sahaja. Semakin lama ia semakin reda. Dalam masa yang sama aku struggle untuk memahami topik2 baru pembelajaran. Oleh kerana aku sudah tidak lagi tinggal di asrama, akhirnya aku tertinggal dan tidak mampu untuk bersaing dengan pelajar lain.

Rakan2 baharu yang sebelum ini sering mengajak aku belajar bersama mula menjauhkan diri. Mujurlah masih ada seorang rakan yang setia menjadi peneman.

Rakan tersebut sememangnya rakan yang baik. Dia yang menghulur salam perkenalan apabila kami menjadi rakan sekelas. Mengenali dia dari jauh sejak tingkatan 3 kerana dia dari kelas yang berlainan. Sejak dari itu kami sering berutus surat. Dalam kelas kami tidak pernah bertegur sapa kerana sifat malu aku pada rakan perempuan.

Rakan ini selalu memberi semangat kepada aku melalui surat yang ditulis. Satu perkara yang aku masih ingat, tulisan dia sangat cantik dan teratur. Tidak seperti tulisan aku yang kadang condong ke depan dan kadang condong ke belakang...

Kami berutus surat sehingga tingkatan 5, tetapi semakin kurang kerana kesibukan belajar dan kami pula tinggal di asrama. Jika di dalam kelas pula kami hanya mampu bertukar pandangan, malu untuk bertegur sapa.

Oh ya, akibat pelajaran ku semakin merosot; ketika di tingkatan 5 aku memohon untuk tinggal di asrama semula. Dapatlah belajar bersama-sama dengan rakan sekelas untuk menghadapi peperiksaan SPM. Aku masuk asrama agak lewat kerana menunggu kekosongan.

Kemasukan ke asrama memang banyak  membantu aku mengejar semula pelajaran yang tertinggal. Sungguhpun begitu aku sedar aku tidak akan berupaya untuk mengulangi prestasi cemerlang seperti di peringkat SRP. Aku hanya mampu bertekad untuk lulus semua subjek yang aku ambil.

Ketika di tingkatan 5 ini, aku memasang cita-cita untuk menjadi pilot TUDM. Pada pendapat aku ia salah satu cara yang paling cepat aku boleh mengubah nasib diri dan keluarga. Oleh yang demikian, aku berusaha untuk cemerlang dalam subjek yang berkaitan. Rakan sekelas ku Rizal pun bercita-cita sama manakala rakan pena sekelas aku pula hanya menyokong.

bersambung....(selepas keluar result SPM)

Rabu, 22 Oktober 2025

Sekolah Menengah (sambungan)

 

(gambar hiasan dari blogspot SUA)

Sambungan dari coretan yang lepas..

Tingkatan 1 (1984)
Tingkatan 2 (1985)
Tingkatan 3 (1986)

Tingkatan 1 & 2 aku mengulang dari rumah, biasanya naik basikal sahaja. 
Masa ni tak banyak kenangan yang aku boleh ceritakan.

Cikgu Kelas Puan Sapura, Cikgu Ali pula mengajar Sains Paduan, Cikgu Wahyudi mengajar Perdagangan.
Tidak dinafikan rakan-rakan sekelas aku ni bijak-bijak belaka. Antaranya Sujairi yang berasal dari Kg Tebuk Jawa. Selain ekademik, aku juga aktif bersukan. Acara yang aku mampu sertai adalah merentas desa. Trek atau laluan merentas desa ni melalui kawasan kampung ku. Tapi ia tidak menjadikan nya lebih mudah. Sukan-sukan lain aku tak pandai.

Pada tahun 1986 Cikgu kelas maklumkan bahawa semua murid kelas khas kena tinggal di asrama sekolah termasuk aku. Alasan nya agar mudah hadir kelas tambahan untuk menghadapi SRP. 
Perkara ini aku maklumkan pada mak. Pada asasnya mereka akur walaupun terpaksa mengeluarkan belanja yang agak besar untuk meneyediakan keperluan untuk tinggal di asrama. Pakaian, kain cadar/sarung bantal, Yuran makan bulanan sebanyak RM30 juga perlu disediakan. Pengorbanan Mak bapak serta keluarga terlalu besar, bila sudah bekeluarga baru tahu betapa tinggi sumbangan yang mereka telah curahkan.

Kehidupan di asrama memang berbeza dengan kehidupan di rumah. Aku beruntung kerana kampung ku hanya di seberang pagar sekolah. Ada kalanya aku curi-curi balik rumah juga. AKu masih ingat bapaku akan datang ke asrama menaiki motor untuk menghantar kuih ketika bulan puasa.

Hasil penat lelah belajar dan usaha guru-guru dalam mengajar termasuk kelas tambahan dan latihan menjawab soalan peperiksaan tahun-tahun sebelumnya, keputusan SRP kami amat baik. Aku sendiri menjadi pelajar terbaik! masa tu pengiraan secara aggregate untuk 5 pelajaran utama (Sains,Matermatik,dll) saya dah lupa subjek2 wajib tu. Secara umumnya matlamat penubuhna rancangan khas ini telah berjaya mencapai target yang sasarkan. Kelulusan 100% dan bawah 15 aggregate. Syukur alhamdulillah!




Sekolah Menengah

 


Sekolah Ungku Aziz (SUA)

Pada tahun 1984 saya mula bersekolah di SUA setelah tidak dapat tawaran belajar di sekolah berasrama penuh. Penempatan di SUA secara automatik bagi murid lepasan SKJ. Bagi bekas murid Sekolah Dr Latif pula, mereka akan menyambung persekolahan di STARP.

Di sekolah menengah terdapat 2 sessi persekolahan iaitu sessi pagi & petang. Sessi pagi untuk pelajar tingkatan 3 hingga 5 manakala sessi petang pula untuk murid tingkatan 1 & 2 serta kelas peralihan jika tidak silap.

Pada hari pertama persekolahan, saya pun tak pasti siapa yang menghantarku ke sekolah. Guru-guru sibuk menguruskan pendaftaran dan membuat ujian saringan. Tujuannya untuk mengenal pasti tahap pencapaian setiap murid-murid baru. Ketika itu susunan kelas dan aliran adalah bergantung pada tahap prestasi murid.

Di sekolah SUA ketika itu ada 2 aliran iaitu aliran Perdagangan dan Seni Perusahaan. Murid-murid pandai lazimnya akan dimasukkan ke dalam kelas perdagangan manakala selebihnya kan dimasukkan dalam kelas aliran Seni perusahaan.

Belum pun sempat menduduki ujian saringan tersebut, nama ku telah dipanggil bersama dengan sekelompok murid-murid lain. Semuanya lebih kurang 30 orang terdiri dari rakan-rakan dari SKJ serta beberapa murid lain yang tidak ku kenali. Mungkin dari sekolah rendah lain sekitar daerah ini.

Kami dihimpunkan di satu tempat dan dimaklumkan bahawa kami telah dipilih berdasarkan pencapaian penilaian darjah 5 tetapi tidak dapat tawaran ke SBP. Kelas tingkatan 1 Khas itulah nama kelas yang kami anggotai. Guru penyelaras maklumkan bahawa mulai esok kami dikehendaki hadir bersekolah disebelah pagi. Maknanya kami akan bersekolah bersama-sama murid senior !

Seperti diarahkan, kami mula bersekolah disessi pagi pada hari kedua persekolahan. Kami ditempatkan di kelas berhampiran kedai koperasi. Kelas 1 khas ini merupakan kelas aliran Perdagangan dan diwujudkan sebagai satu rancangan khas untuk mencapai prestasi terbaik dalam peperiksaan SRP untuk tahun 1986 nanti.

Kami dimaklumkan hanya ada 2 kelas tingkatan 1 khas diwujudkan iaitu 1 di SUA & satu lagi di SMK Sg Besar. Kami akan dididik oleh guru-guru terbaik dan digalakkan untuk tinggal di asrama bagi memudahkan hadir ke kelas tambahan yang bakal di laksanakan.

bersambung..

Jumaat, 17 Oktober 2025

Paramotor Park Malaysia Pulau Carey

 

InsyaAllah akan dirasmikan pada November 2025

Serentak dengan itu lokasi tepatnya turut akan dikongsi oleh pemiliknya. Paramotor Park ini merupakan yang pertama di Malaysia dan dimiliki oleh Paramotor Resources (Cikgu Alias).

Paramotor park ini akan menjadi lokasi tetap sukan paramotor, menjadi tempat melatih penggiat baharu & tempat event yang sesuai serta menjadi home ground bagi ahli kelab Jomfly Paramotor.

Coretan ini bukan bertujuan untuk mendahului pemilik dalam berkongsi info tetapi sekadar berkongsi keterujaan seorang ahli Kelab Jomfly.

Logo serta gambar di copy & paste dari laman FB Jomfly Paramotor.



Rabu, 15 Oktober 2025

Sekolah Khir Johari (SKJ)


 SKJ merupakan sekolah pertama ku.

Aku belajar di situ selama 6 tahun bermula 1978 hingga 1983. Sekolah ini adalah salah satu sekolah rendah yang paling hampir dengan rumah/kampung kami. Sebuah lagi Sekolah bernama Sekolah Dr Latif.

Kedudukan nya pun sebelah menyebelah sahaja. Aku kurang pasti kenapa ibu bapa ku memilih SKJ berbanding Sekolah Dr Latif. Mungkin kerana status sekolah itu yang asalnya 'Sekolah Inggeris' kot. Selain prestasi atau pencapaian murid-muridnya lebih baik. Aku tiada masalah - ikut sahaja.'

Aku tak pasti ketika darjah berapa aku baru tahu yang pakcik ku (Pakcik Munib) adalah salah seorang pekerja di SKJ. Jawatan nya adalah 'Tukang Kebun". Patut lah sepupu ku pun bersekolah di SKJ - senang nak hantar & ambil ke/dari sekolah.

Selain Pakcik Munib, ada 2 orang pendidik yang tinggal sekampung dengan ku. Dan mereka memang mempunyai hubungan persaudaraan denganku. Mereka adalah Cikgu Ghafur yang mengajar Bahasa Inggeris dan Ustaz Zubir yang mengajar Pendidikan Islam. Aku tiada masalah dengan mereka, kerana aku memang dalam kategori 'budak baik'. Cuma ada beberapa insiden berlaku dengan Cikgu Ghafur semasa darjah 4. Insiden pertama ketika aku tak siapkan kerja sekolah & Cikgu tegur kerana dia nampak aku kerap bermain dengan adik-adik ku masa di rumah. Satu lagi ketika ditegur pasal rambut panjang, aku cakap yang rambut Cikgu pun panjang juga...

Kenangan lain ketika bersekolah rendah di SKJ - pergaulan dengan rakan-rakan membawa kepada aktiviti di luar sessi persekolahan. Rata-rata kami duduk berdekatan sama ada di sekitar kampung atau Pekan Sabak. Sungguhpun begitu ada juga yang tinggal di kampung yang agak jauh contohnya Kg Batu 37. Kalau tak silap ada 2-3 orang juga iaitu ,Syukri, Rashid, Hata dan Ishak.

Antara aktiviti yang dilakukan adalah aktiviti berbasikal beramai-ramai ke rumah Syukri di kg Batu 37. Ada sekali tu terus lajak ke pantai Sekendi mencari kerang. Singgah pula di rumah Ishak. Jika tak silap aktiviti berbasikal tu bermula ketika hari raya, sebelum diteruskan pada bulan-bulan berikutnya.

Ketika hari raya ada juga aktiviti makan laksa minum air tebu di gerai cina tepi panggung wayang dan tengok wayang. Ingat lagi beli tiketnya tak seberapa tapi masuk ramai-ramai. Cerita nya pulak cerita Indonesia ! Setelah sekian lama baru tau khabar angin pasal laksa kura-kura...kalau betul pun apa boleh buat? Siapa yang suruh beli dan makan laksa dari Cina!

Pada tahun 80an rata -rata penjual air balang, air tebu dan makanan adalah orang cina. Ketika itu peniaga muslim masih kurang berbanding sekarang. Jika ada pun kedai kopi mamak seperti  Restoran Abbas dan kedai Kader wedang di simpang Sepintas. Ada juga peniaga Melayu di Perhentian Bas Sabak-salah seorangnya adalah bapa kepada Musa Abu Bakar.

Musa bin Abu Bakar

Rakan sekelas sejak darjah 4. Dia tinggal di Kampung Batu 40 dan bapanya berniaga di Bus Stand Sabak (Ada gerai nasi lemak). Ketika darjah 6, Musa akan bawa bekal nasi lemak ke sekolah. Tak ingat berapa bilangan nya. Tapi yang bagusnya dia ajak kongsi makan sama-sama di bawah pokok rhu belakang pejabat Guru Besar. Rakan kongsi yang lain kalau tak silap Syukri & Azahar. Selepas makan main pulak sepak raga - tenang betul hidup ketika itu!

Apabila tamat persekolahan di SKJ, kami membawa haluan masing-masing. Bagi rakan-rakan yang mendapat keputusan penilaian darjah 5 yang baik seperti Syukri & Ashraf, meraka dapat tawatan untuk masuk sekolah berasrama penuh. Kami yang tidak dapat tawaran pula bakal menyambung persekolah di sekolah menengah yang telah ditetapkan iaitu antara Sekolah Ungku Aziz (SUA) dan Sekolah Tunku Abdul Rahman Putra (STARP).


Bersambung...

Selasa, 14 Oktober 2025

aku menulis bukan kerana nama (2)...

 

Gambar di asrama 1987

Sambungan

Umur 11-15 tahun

Peperiksaan penilaian darjah 5 dilalui dengan baik.. Pihak sekolah memang berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan ramai murid dapat keputusan 5A. Ketika itu berlawan dengan sekolah bersebelahan iaitu Sekolah Dr latif. Ikut tren memang Sekolah Khir Johari (SKJ) mempunyai rekod lebih baik.

Selain latihan menggunakan buku tambahan untuk subjek teras, kelas tambahan pada hari Sabtu juga dibuat. Kami memang seronok pada masa tu kerana dapat jumpa rakan sekelas lebih kerap.Lagipun belajar tak lama. Pada waktu rehat kami boleh bermain di luar kelas. Selalunya kami kan bermain di bawah pokok saga di belakang kelas.

Keputusan penilaian darjah 5 keluar ketika kami berada dalam darjah 6. Ramai juga rakan sekelas yang dapat keputusan 5A. tak kurang juga yang dapat 4A & 3 A. Aku dapat keputusan yang agak baik iaitu 4A1C. Sudah tentu subjek English lah yang dapat keputusan C tersebut. Tapi heboh jugalah sekampung bila keputusan ini keluar. Maklumlah sebelum ni pencapaian ku biasa-biasa sahaja. Mungkin Cikgu Ghafur yang mengajar di SKJ yang bagi info.

Berdasarkan keputusan yang diperolehi, masing-masing mula sibuk memohon sekolah berasrama penuh, antaranya Sekolah Sains & MRSM. Guru-guru banyak membantu proses ini kerana rata-rata ibu-bapa tidak faham proses yang perlu dibuat.

Nama aku turut tersenarai untuk menghadiri ujian pemilihan kemasukan MRSM. Bila tiba tarikh yang ditetapkan, arwah bapa menghantar aku ke pusat pemilihan di SK Sri Makmur, Sungai Besar. Aku pun dah lupa berapa set soalan yang kena jawab dalam masa 1 jam. Soalan nya berbeza dengan soalan biasa. Lenih menumpukan kemahiran berfikir (IQ). Aku jawab asal boleh je, lagipun soalan objektif.

Persekolahan darjah 6 pada tahun 1983 secara umumnya santai sahaja kerana tiada peperiksaan besar. Sekadar menghabiskan silibus pembelajaran. Aku masih kekal di kelas Cempaka, dan setelah 2 tahun belajar dengan kelompok murid yang sama , aku mula mengenali dengan lebih rapat rakan-rakan sekelas.

Antara lain mereka adalah Azahar Abdul Rahman, Musa Abu Bakar, Syukri Mohd Ali, Zaem, Syed Muzaffar, Syaiful Zairi, Hadlishah, Ismail Zakri & Ashraf. Murid perempuan yang aku ingat antara lain Zulaiha & Zubaidah.

Kelas 6 Cempaka berhampiran kedai koperasi dan Pejabat Guru Besar. Ada kejadian juga yang melibatkan kami dengan kerani sekolah...akibatnya Zaem yang kena denda. Guru kelas ketika itu bernama Cikgu Ariffin, ada peristiwa juga dengan rakan bernama Azahar. Berpunca dari perkataan 'sedang' si Azahar makan penampar...

Ustaz yang mengajar Pendidikan Islam pula adalah Ustaz Zubir, saudara sekampung ku juga. Tapi aku sangat suka dengan beliau. Setiap kali ujian atau peperiksaan, Ustaz Zubir akan membacakn semua soalan dan pilihan jawapan. Kertas soalan Ujian Pendidikan Islam dalm tulisan jawi, jadi aku yang buta huruf ni akan mendengar apa yang Ustaz baca dan terus pilih jawapan yang betul. Selesai je semua soalan dibacakan, aku pun dah siap menjawab. Hasil nya aku lulus dengan baik walaupun aku buta huruf jawi!


Bersambung lagi...........